PUTRAJAYA: Petani, pemborong dan pembekal input pertanian digalakkan untuk mendaftar secara percuma di Sistem GeoTanaman bagi memastikan mereka dapat merancang pengeluaran tanaman makanan dan mengatasi lambakan hasil tani.

Menurut Ketua Pengarah Pertanian Datuk Zahimi Hassan, sistem ini mampu memperluaskan ruang pasaran melalui padanan pasaran secara e-dagang dan transaksi secara terus dengan pemborong.

Saranan itu dibuat susulan pendedahan laporan akhbar berkaitan kejadian petani di Lojing dan Cameron Highlands yang terpaksa membuang hasil tanaman yang dituai.

Zahimi berkata, dengan mengguna pakai sistem berkenaan, Jabatan Pertanian juga dapat memberikan khidmat pengembangan pertanian kepada para petani.

Ia boleh dilakukan dengan mengenal pasti secara spesifik lokasi kebun dan menghantar notifikasi berkaitan perkhidmatan yang diperlukan melalui telefon mudah alih yang didaftarkan.

Petani juga, jelasnya, disarankan untuk melaksanakan amalan pertanian baik dengan memohon pensijilan MyGap dan merancang penjadualan penanaman mengkut kehendak pasaran. 

BACA: KPKM akan teliti masalah lambakan sayuran di Tanah Tinggi Lojing 

Petani digalak daftar di Sistem GeoTanaman bagi mengelak hasil tani berlebihan 

 

Media tempatan baru-baru ini melaporkan, kira-kira 500 pekebun di Tanah Tinggi Lojing terpaksa membuang ribuan tan sayur yang tidak terjual, berikutan didakwa terdapat lambakan bekalan sayur import.

Masalah dilaporkan timbul apabila pengeluaran sayur tempatan kini meningkat selepas berakhir musim tengkujuh, namun bekalan import didakwa masih dibawa masuk.

Susulan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, masalah tersebut akan diteliti oleh kementeriannya dalam usaha mencari langkah penyelesaian berkesan.